GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang meminta ahli-ahli, para penyokong dan pengundi agar tidak mempercayai sebarang edaran senarai calon pilihan raya negeri (PRN) yang bukan dari sumber sahih.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, isu tersebut yang ditularkan menerusi media sosial sebelum ini adalah palsu.

Menurutnya, hanya Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang boleh mengumumkan senarai calon akhir.

Sementara itu, beliau memberitahu pihaknya telah telah selesai menjalankan temu duga bersama semua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari parti itu bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.

Kon Yeow berkata, kesemua mereka ditemu duga oleh lima ahli panel termasuk dirinya, Timbalan Pengerusi negeri, P Ramasamy; dua Naib Pengerusi iaitu Jagdeep Singh Deo serta Zairil Khir Johari dan Setiausaha negeri, Lim Hui Ying.

Menurutnya, lanjutan daripada sesi temu duga itu, barisan panel akan mengadakan pertemuan segera untuk berbincang dan membuat keputusan mengenai calon-calon yang berpotensi bagi mewakili DAP serta Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri Pulau Pinang akan datang.

"Senarai ini kemudiannya akan dikemukakan kepada CEC DAP untuk dipertimbangkan dan diputuskan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis. -Sinar Harian