KUALA LUMPUR:Tugas 'Jeneral Perang COVID-19' sepatutnya kini digalas Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan bukan lagi dibahu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor menegaskan Dr Noor Hisham yang merupakan seorang birokrat tidak mempunyai punca kuasa seperti mengeluarkan arahan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan sebagainya.

Tatkala Ordinan Darurat berkuat kuasa, beliau melihat perlu pelaksanaan inisiatif yang lebih proaktif dan pantas dalam menangani pandemik itu.

"Apa yang terbaik adalah untuk Perdana Menteri sendiri yang diamanahkan untuk memberi kepimpinan, berkhidmat untuk negara dan rakyat, mengambil tanggungjawab ini sebagai jeneral perang COVID-19 di Malaysia kerana beliau ada kuasa.

"Dalam rantaian kuasa itu, beliau di peringkat paling tinggi. Beliau boleh arahkan EPU, boleh tarik semula peruntukan, boleh arahkan Kementerian Kesihatan, yang mana kuasa itu tidak dipunyai oleh Ketua Pengarah Kesihatan," tegasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurutnya, Dr Noor Hisham hanya boleh mengemukakan cadangan atau saranan, dan bukan arahan seperti punca kuasa yang dimiliki oleh Perdana Menteri.

"Kerajaan kini perlu mengambil langkah yang lebih drastik iaitu meletakkan Perdana Menteri sebagai jeneral utama dan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) perlu memainkan peranan yang lebih banyak.

"Ketua Pengarah Kesihatan boleh mainkan peranan operasi yang lain, memantau pergerakan di peringkat bawah. Jadi akan ada pembahagian kuasa dan juga ada kerjasama antara eksekutif politik dan pentadbiran," tegasnya.

Beliau percaya, sekiranya sebarang arahan berkait usaha menangani COVID-19 dikeluarkan terus oleh Perdana Menteri, ia akan lebih berkesan seiring punca kuasa yang dimiliki oleh Perdana Menteri.

"Perdana Menteri dan Pejabat PM boleh diletakkan sebagai 'war room' atau 'war cabinet'. Saya fikir lebih banyak perkara boleh dilaksanakan dengan lebih pantas dan lebih berkesan.

"Bukan macam sekarang, 'kita sarankan, kita bincang' dan sebagainya. Sedangkan kalau kita angkat Pejabat PM itu sendiri sebagai 'war room' dalam menangani COVID-19, bagi saya arahan itu akan dilaksanakan dengan lebih baik," katanya.


#AWANIByte: Darurat | Bukan Dr Noor Hisham jeneral perang, tetapi...