SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas maut, manakala cucu di pangkuan riba terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Sidam Kiri, dekat sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata dalam kejadian pada 5.30 petang itu, mangsa berusia 63 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala bayi berusia setahun, dipercayai cucunya, cedera di bahagian dahi.

“Ketika kejadian mangsa berada di bahagian tempat duduk penumpang belakang sambil memangku cucu manakala isterinya pula berada di tempat duduk penumpang hadapan Proton Saga yang dipandu anak perempuan mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati kemalangan membabitkan kereta dinaiki empat sekeluarga itu dengan tiga lagi kenderaan iaitu sebuah kereta Toyota Corolla, lori dan juga motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kemalangan berpunca daripada pemandu Toyota Corolla yang dipandu seorang mekanik, iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun, datang dari arah Sungai Petani menghala ke Sidam Kiri manakala tiga kenderaan lain datang dari arah bertentangan.

Menurut saksi mekanik berkenaan memandu laju sebelum dia hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga kenderaan lain.

Katanya, rempuhan itu mengakibatkan penumpang lelaki yang berada di tempat duduk belakang Proton Saga meninggal dunia manakala tiga yang lain termasuk bayi mengalami kecederaan.

Sementara itu, siasatan lanjut mendapati mekanik yang memandu Toyota Corolla terbabit tidak mempunyai lesen memandu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.