Ringkasan AI
- Tuanku Muhriz mengingatkan Exco Negeri Sembilan yang baharu supaya memahami batas tugas dan tidak melampaui kuasa serta tanggungjawab ditetapkan.
- Baginda menegaskan kepentingan mengutamakan rakyat, melaksanakan tugas dengan integriti dan profesionalisme, serta memastikan keputusan berlandaskan kesejahteraan negeri.
- Enam ADUN mengangkat sumpah sebagai Exco baharu, menggantikan barisan sebelum ini susulan perubahan politik di Negeri Sembilan.
KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu dilantik supaya sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing, selain tidak bertindak melampaui kuasa serta tanggungjawab ditetapkan.
Tuanku Muhriz bertitah segala peristiwa dan isu yang tercetus baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran dan pedoman oleh semua pihak terutama barisan Exco yang memikul amanah dalam pentadbiran negeri.
โTumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.
โBeta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri,โ titah Tuanku Muhriz ketika Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini.
Turut berangkat sama ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-โAbidin Tuanku Muhriz.
Istiadat itu turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Datuk Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Azrin Khairi serta Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan Exco supaya mengutamakan kepentingan rakyat, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme selain memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada wakil rakyat terpilih menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada kali ini, sekali gus menyifatkan pelantikan itu sebagai penghormatan yang membawa tanggungjawab dan amanah besar kepada negeri serta rakyat.
Tuanku Muhriz turut mendoakan supaya Menteri Besar serta seluruh anggota Exco diberikan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan dalam melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan supaya Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera demi kepentingan rakyat.
Terdahulu, sebanyak enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Exco Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Tuanku Muhriz.
Pelantikan Exco berkenaan menyaksikan perubahan dalam komposisi pentadbiran kerajaan negeri berbanding 10 barisan Exco sebelum ini susulan perkembangan politik yang berlaku di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan ke-16, Barisan Nasional memenangi 18 kerusi, manakala Perikatan Nasional memperoleh tujuh kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
-- BERNAMA