KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari blok pembangkang menyifatkan kerajaan mengambil langkah 'tempang' kerana menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Memberitahu Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad berkata, tiada pemakluman awam dibuat terhadap keputusan tersebut.

"Apakah kerajaan sengaja menyembunyikan isu ini kerana takut bantahan umat Islam terhadapnya?

"Saya melihat seolah-olah pihak menteri sendiri tidak benar-benar memahami implikasi daripada tindakan yang diambil tersebut.

"Pertama, tidak ada keseriusan dalam keputusan yang diambil selepas sekadar menghantar nota Jemaah Menteri, dan bukan memorandum untuk dibahaskan oleh Kabinet secara lumat," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023, di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata keputusan menarik balik rayuan juga didakwa tidak melalui proses libat urus yang sempurna.

Jelas beliau, tiada perundingan dilakukan dengan pemegang taruh utama, mahupun institusi diraja sedangkan pendirian sultan-sultan adalah jelas dalam isu berkenaan.

"Ketiga, pihak Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah tidak dilibat urus dalam keputusan diambil, sedangkan mereka terbabit sebagai sahabat mahkamah di peringkat Mahkamah Rayuan," tambah beliau.

Dalam masa sama, beliau membangkitkan persoalan adakah terdapat desakan 'di sebalik tabir' dalam isu berkenaan, selain mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal mempertahankan aspirasi umat Islam.

"Oleh sebab itu, penggunaan kalimah Allah harus diteliti dan dilihat dengan betul," ujarnya.

Bagaimanapun, tindakan Ahmad membangkitkan isu kalimah Allah ditegur oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor kerana tidak tertumpu mengenai RUU Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 yang sedang dibahaskan.

"Saya beri ingatan kepada Yang Berhormat lain mengenai Peraturan Mesyuarat 36(1) adalah jelas. Kita laksana tugas kita sebagai mana dalam peraturan dan kita berbincang mengenai pindaan dan bukan ruang untuk berbahas perkara lain.

"Saya tidak teragak-agak menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 untuk memastikan perjalanan dewan ini jelas," katanya.

Usul RUU Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.