KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh ekosistem keterjaminan makanan negara di samping memperkasakan kuasa kawal selia industri.
RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahas oleh Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Antara pindaan utama ialah kepada Seksyen 22 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang menaikkan kadar penalti am kepada denda tidak melebihi RM250,000 bagi individu, manakala syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM1 juta.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin ketika menggulung perbahasan berkata pindaan kadar denda itu amat diperlukan memandangkan penalti sedia ada tidak pernah disemak sejak akta berkenaan digubal.
Beliau berkata berdasarkan data rasmi pihak berkuasa, nilai rampasan bagi kes penyelewengan dan penyeludupan beras putih tempatan adalah sangat tinggi, namun hukuman yang dijatuhkan sebelum ini tidak setimpal berikutan had penalti yang rendah.
“Hukuman sedia ada pada hari ini adalah sama sekali tidak setimpal dengan keuntungan besar yang diraih oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam industri padi dan beras yang bernilai berbilion ringgit. Kenaikan ini adalah untuk memastikan hukuman berkadaran dengan sifat kesalahan,” katanya.
Chan berkata pindaan itu juga berperanan sebagai payung perlindungan bagi memastikan kelestarian ekonomi pesawah daripada sebarang bentuk manipulasi pasaran.
Terdahulu, cadangan menaikkan kadar denda sehingga RM1 juta bagi membendung penyelewengan dalam industri padi dan beras menjadi antara fokus perbahasan Ahli Parlimen.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mencadangkan supaya penguatkuasaan disokong dengan garis panduan pendakwaan yang jelas demi melindungi rantaian bekalan makanan negara, selain menyarankan latihan khusus diberikan kepada pegawai pendakwa bagi memastikan hukuman yang setimpal dapat dipohon di mahkamah.
Tan Hong Pin (PH-Bakri) pula mencadangkan kementerian mengkaji semula kadar penalti yang dicadangkan bagi menyertakan langkah bantuan kepada pengilang yang sah untuk kekal berdaya maju, di samping mengesyorkan penubuhan jawatankuasa bebas untuk menilai prestasi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) secara berkala bagi mendepani isu kartel secara menyeluruh.
Sementara itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) menekankan kepentingan pelaksanaan sistem pendigitalan kebolehkesanan (traceability) secara menyeluruh dalam rangkaian bekalan padi dan beras bagi membendung ketirisan serta gangguan rantaian bekalan.
Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pula mengusulkan agar setiap kampit beras dilengkapi kod QR bagi membolehkan pengguna dan pihak berkuasa menjejaki pergerakan stok secara masa nyata, sekali gus memudahkan pengesanan manipulasi pelabelan dan penyorokan bekalan.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA