MALAYSIA
Dialog Hubungan ASEAN-China antara kerjasama paling kukuh, dinamik - Tok Mat

Mohamad berkata, ASEAN dan China terus bekerjasama memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan makmur. - Foto Wisma Putra
KUALA LUMPUR: Dialog Hubungan ASEAN dengan China disifatkan sebagai antara kerjasama ASEAN yang paling kukuh dan dinamik, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, hubungan tersebut dibina berasaskan kepercayaan bersama, kepentingan yang seiring, serta kebergantungan ekonomi yang semakin meningkat.
Dengan aspirasi dan norma yang dikongsi bersama, Mohamad berkata, ASEAN dan China terus bekerjasama memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan makmur.
“Pelbagai cabaran yang kita hadapi pada masa ini seharusnya memperkukuh komitmen bersama ini, lebih-lebih lagi dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu. Kerapuhan keamanan global kini semakin ketara.“Justeru, ia menuntut kita menggandakan usaha demi menjamin keamanan dan kestabilan rantau kita terus terpelihara. Oleh itu, kita mesti memastikan ketegangan geopolitik tidak meningkat atau mengancam keselamatan dan perdagangan global di Laut China Selatan,” katanya lagi.
Mohamad berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar ASEAN, sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.
Dalam dialog yang turut dipengerusikan bersama Menteri Luar China, Wang Yi itu, Mohamad berkata, kerapuhan keamanan global kini semakin ketara, dan menuntut semua pihak menggandakan usaha demi menjamin keamanan dan kestabilan rantau kita terus terpelihara.
Justeru, katanya lagi, pihak berkenaan mesti memastikan ketegangan geopolitik tidak meningkat atau mengancam keselamatan dan perdagangan global di Laut China Selatan.
“Sehubungan itu, ASEAN menyeru semua pihak agar mengurus situasi di Laut China Selatan dengan penuh kebijaksanaan dan berhemah. ASEAN mengalu-alukan kemajuan dalam rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, dan berharap momentum positif ini dapat diteruskan.
“Kami yakin, dengan komitmen sepenuhnya daripada semua pihak yang terlibat dalam rundingan, satu COC yang berkesan dan substantif dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Tambahan pula, dalam suasana kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ‘non-profileration global’ dan retorik berkaitan senjata nuklear, kami mengalu-alukan kesediaan China untuk menjadi Negara Pemilik Senjata Nuklear (NWS) pertama yang menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang syarat,” katanya lagi.
Mohamad berkata, langkah tersebut merupakan kemajuan yang amat signifikan, mencerminkan kepimpinan dan komitmen China terhadap Asia Tenggara yang bebas daripada senjata nuklear.
Menyentuh mengenai aspek kerjasama ekonomi, beliau berkata, ASEAN dan China kekal sebagai rakan dagang terbesar antara satu sama lain selama empat tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah AS$770.94 bilion pada tahun 2024 - peningkatan sebanyak 10.61 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Namun begitu, kita tidak boleh leka terhadap ancaman terhadap sistem perdagangan terbuka, adil dan berasaskan peraturan. Dalam konteks ini, pemeteraian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini adalah amat tepat pada masanya.
“Melalui perjanjian ini, ASEAN dan China dapat memperkukuh kerjasama serta daya tahan ekonomi kita - baik ketika berdepan cabaran semasa mahupun masa hadapan,” katanya lagi.
Mohamad berkata, sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia komited untuk bekerjasama dengan semua Negara Anggota ASEAN dan China bagi terus memajukan perkongsian ini demi manfaat nyata kepada rakyat.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami