KOTA BHARU: Seorang murid perempuan Tahun Empat meninggal dunia pada Isnin, sehari selepas kemalangan digilis sebuah lori ketika membonceng motosikal bersama datuknya semasa pulang dari sekolah di Kubang Kerian di sini pada petang Ahad lalu.
Putri Nur Aishah Abdullah, 10, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang akibat kecederaan parah dan pendarahan teruk.
Ibu mangsa, Nadja Aida Natasha Mohd Noor, 30, berkata, kejadian berlaku pada jam 3.20 petang semasa anak sulung daripada tiga beradik berkenaan membonceng motosikal bersama datuknya, Bakri Daud, 61, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Chica selepas selesai makan bersama.
Katanya, semasa tiba berhampiran persimpangan lampu isyarat, motosikal yang dinaiki anak bersama bapanya itu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah yang sama sebelum terbalik.
“Ayah saya yang menunggang motosikal terjatuh ke sebelah kiri dan hanya mengalami luka ringan tapi anak saya jatuh ke sebelah kanan serta digilis lori di bahagian perut.
“Pemandu itu menghentikan lorinya selepas menyedari kejadian dan terkejut melihat anak saya sudah berada di bawah lori serta mengalami kecederaan parah,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Nadja Aida Natasha berkata, anaknya dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian dan ditempatkan di Zon Merah dalam keadaan kritikal.
“Doktor buat pembedahan kecemasan untuk pasang besi di bahagian pinggul Putri Nur Aishah bagi membantu menghentikan pendarahan sebelum dia dimasukkan di Unit Rawatan Rapi.
“Beberapa jam selepas menjalani pembedahan, keadaan anak tetap lemah kerana kehilangan banyak darah,” katanya.
Menurutnya, pendarahan terbabit tidak berhenti dan doktor bercadang melakukan pembedahan kali kedua bagi mencari punca pendarahan yang berterusan.
“Semasa perbincangan bersama doktor, jantung anak saya tiba-tiba terhenti dan diberi bantuan CPR sebelum nadinya kembali selepas 15 minit.
“Keadaan dia bagaimanapun makin lemah sebelum akhirnya meninggal dunia,” katanya.
Jenazah Putri Nur Aishah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chicha pada jam 9.30 malam hari sama. - Sinar Harian