Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi minggu kedua telah selesai dilakukan di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah pada Sabtu dan Ahad.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dijangka akan mengumumkan keputusan rasmi pemilihan setakat minggu kedua dalam satu sidang media esok.

Penyandang jawatan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dilaporkan jauh meninggalkan pesaingnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sumber dalaman PKR memberitahu Astro AWANI, Azmin mendapat 11,133 undi manakala Abdul Khalid mendapat 5,451 undi sementara Saifuddin mendapat 5,052 undi.

"Setakat ini Azmin jauh tinggalkan Khalid dan Saifuddin, tolak cabang-cabang yang terpaksa buat semula dan yang berlaku kekecohan pun Azmin masih jauh di depan," kata sumber tersebut kepada Astro AWANI.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli dikatakan mendapat undi paling tinggi setakat ini diikuti oleh Tian Chua, Baru Bian dan Shamsul Iskandar Md Akin.

Undi yang tinggi diperolehi Nurul Izzah dan Rafizi memberi isyarat bahawa ahli PKR diperingkat akar umbi menerima dua pemimpin dari pasukan 'Masa Depan Bersama' ini dan dalam masa juga mereka tetap mahukan Azmin kekal di kerusi nombor dua.

Bagi jawatan Ketua AMK, Amirudin Shari mendahului dua pesaingnya, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahmad Nazree Yunos.

Pemilihan minggu kedua menyaksikan berlaku kekecohan di beberapa cabang hingga memaksa ianya tidak sah dan batal.

Di Cabang Nibong Tebal, kekecohan timbul selepas wujud dakwaan adanya pengundi hantu dalam persaingan tiga penjuru untuk merebut jawatan Pengerusi Negeri.

Walaupun bilangan pengundi berdaftar untuk mengundi adalah 672, diakhir proses pengundian yang berlangsung di Dewan JKKK Simpang Tiga, didapati 838 kertas undi dikumpulkan.

Difahamkan, pengundian semula akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak di luar Nibong Tebal.

PKR Cabang Nibong Tebal mem­­punyai seramai 3,692 ahli berdaftar.

Di Balik Pulau, proses pengundian yang pada awalnya kelihatan tenang bertukar panas apabila penyokong tidak berpuashati dengan perbuatan 'mencuri pengundi' yang dijalankan oleh kumpulan tertentu.

Sementara itu, di Sabah, tiada persediaan rapi menyebabkan sesi mesyuarat dan pemilihan PKR Cabang Tenom yang berlangsung di sebuah hotel bertukar kecoh.