BATU KAWAN: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menawarkan diskaun tol sebanyak 30 peratus kepada semua kelas kenderaan yang menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS)  sempena Aidilfitri ini.

JKSB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pemberian diskaun itu akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April (Sabtu) hingga 11.59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad).

Pemberian diskaun itu juga akan diberikan bermula jam 12 tengah malam, 7 Mei hingga 11.59 malam pada 8 Mei 2022.

“Inisiatif yang diumumkan kerajaan ini  disokong JKSB dalam usaha mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari raya”.

"JSAHMS merupakan  pilihan untuk pengguna keluar masuk dari atau ke bahagian pulau dan merupakan  'direct dual carriageway' yang menghubungkan Batu Kawan secara terus kepada bahagian utama pulau dan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas” katanya.

Menurut JKSB, pengguna akan sampai ke kawasan yang dinyatakan di atas dengan lebih mudah tanpa perlu menempuh kesesakan yang serius.

“Tidak dinafikan, JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain tetapi jika dipertimbangkan dari segi kesenangan para pengguna, JSAHMS adalah alternatif terbaik," katanya.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol 1300-30-2828 atau emel di [email protected] atau layari www.jambatankedua.com.my atau layari Twitter: @jsahmsofficial untuk mendapatkan maklumat berhubung keadaan trafik.