MALAYSIA
Doktor ditahan bantu siasatan cabul pesakit wanita

Mohd Alwi berkata lelaki itu direman selama tiga hari sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan/pixabay.com
BALIK PULAU: Seorang doktor lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul membabitkan seorang pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Bayan Baru, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata doktor lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini 8 malam tadi selepas diminta hadir membantu siasatan kes tersebut.
"Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita yang mendakwa pada 11.46 pagi, 29 Jun lepas, telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bayan Baru kerana sakit di bahagian perut.
"Semasa dalam bilik pemeriksaan, doktor yang merawat telah menyuruh mangsa membuka baju dan menyentuh kedua-dua payudara wanita tersebut, mangsa yang tidak puas hati membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada 18 Julai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.Beliau berkata susulan penahanan doktor yang bertugas di sebuah hospital di negeri ini, polis turut merampas sebuah telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi Bernama mengesahkan doktor itu ialah pegawai perubatan yang sama pernah ditahan berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit wanita sebelum ini di negeri ini.
Beliau berkata lelaki itu direman selama tiga hari sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang doktor ditahan tiga kali selepas dilapor berkelakuan tidak senonoh di sebuah hospital dan dua klinik swasta di daerah Timur Laut, membabitkan tiga mangsa wanita.
Doktor itu antaranya memperdayakan mangsa untuk membuka baju dan berlari setempat atas tujuan rawatan lanjut sebelum suspek juga disyaki telah merakam gambar badan pengadu menggunakan telefon bimbit semasa sesi pemeriksaan kesihatan itu dilakukan.
Polis menjalankan siasatan terhadap lelaki itu di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami