Skip to main content

Malaysia

Doraemon, Ultraman gamit nostalgia di Muzium Perak

Figura raksasa Jepun yang dipamerkan sempena Pameran Omocha: Japanese Toys Today di Muzium Perak yang turut menampilkan 162 koleksi permainan Jepun hasil kerjasama Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia dengan The Japan Foundation.  - Gambar Bernama
Figura raksasa Jepun yang dipamerkan sempena Pameran Omocha: Japanese Toys Today di Muzium Perak yang turut menampilkan 162 koleksi permainan Jepun hasil kerjasama Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia dengan The Japan Foundation. - Gambar Bernama
Advertisement

TAIPING: Bagi generasi yang membesar dengan watak Doraemon, Masked Rider, Super Mario atau Ultraman, kehadiran karakter animasi Jepun dalam bentuk koleksi dan permainan pastinya membangkitkan nostalgia yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak. 

Watak-watak popular sejak 1960-an yang dahulunya hanya dapat ditonton menerusi kaca televisyen kini dihidupkan semula dalam bentuk permainan, koleksi miniatur dan pelbagai produk kreatif yang dipamerkan di Muzium Perak, sekali gus menggamit nostalgia generasi terdahulu serta mencetuskan keterujaan dalam kalangan kanak-kanak masa kini.

Pameran Omocha: Japanese Toys Today atau Permainan Jepun Masa Kini yang bermula dari 1 Nov hingga 13 Dis memperagakan sebanyak 162 koleksi permainan hasil kolaborasi antara Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Perak dan The Japan Foundation.

Advertisement

Antara yang mencuri perhatian ialah koleksi watak animasi televisyen seperti Ultraman, Doraemon dan Pokemon yang mempunyai pengikut tersendiri merentas generasi.

Selain anime, pameran itu turut mengetengahkan pelbagai permainan dan koleksi popular Jepun, antaranya Nanoblock atau Sylvanian Families serta permainan berasaskan kenderaan seperti Tomica dan Plarail yang mempunyai daya tarikan tersendiri.

Advertisement

Seiring perkembangan teknologi, dunia permainan turut berubah dengan kemunculan pelbagai produk digital yang menggabungkan elemen interaktif dan pengalaman baharu, dan antara yang diketengahkan pada pameran itu ialah Punirunes dan #BuzzCam yang mula diperkenalkan pada era milenium yang memperlihatkan perkembangan permainan ke arah pengalaman lebih dekat dengan teknologi digital.

Pengarah Jabatan Muzium Perak Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir berkata pameran Omocha berpotensi menjadi platform pendidikan tidak formal yang memperkenalkan masyarakat tempatan kepada sejarah, kreativiti, inovasi serta perkembangan teknologi permainan Jepun, yang seterusnya mampu merapatkan hubungan silang budaya antara kedua-dua negara.

Beliau berkata pameran itu bukan sekadar mengetengahkan permainan sebagai bahan hiburan atau koleksi nostalgia, sebaliknya membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami bagaimana permainan mencerminkan perkembangan sejarah, pemikiran, kreativiti dan identiti sesebuah masyarakat.

“Objektif utama Pameran Omocha adalah untuk mengetengahkan keunikan budaya Jepun melalui objek permainan yang dekat dengan kehidupan manusia dan masyarakat. Permainan bukan sekadar alat hiburan tetapi turut menjadi medium pendidikan, membentuk kreativiti serta mencerminkan perkembangan budaya dan pemikiran masyarakat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Mohd Nasrulamiazam berkata pendekatan itu turut memperlihatkan persamaan antara budaya permainan tradisional Jepun dengan Malaysia, antaranya Otedama yang mempunyai persamaan dengan permainan batu seremban, selain Tako yang berkaitan dengan wau.

Menurut Mohd Nasrulamiazam, persamaan berkenaan menunjukkan bahawa masyarakat di negara berbeza mempunyai nilai dan pemikiran yang hampir sama dalam menghasilkan permainan, khususnya dalam membentuk kemahiran, kreativiti serta interaksi sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata antara koleksi yang diketengahkan pada pameran itu termasuk kereta mini Tomica, watak animasi Doraemon, Transformers, Godzilla, Ultraman, Sylvanian Families, Pokemon dan Tamagotchi.

Mohd Nasrulamiazam berkata pengaruh animasi dan permainan dari negara Matahari Terbit itu turut memberi kesan kepada masyarakat di negara ini, terutama generasi yang membesar pada era 1980-an dan 1990-an menerusi watak seperti Doraemon, Ultraman dan Masked Rider.

“Generasi terdahulu mungkin melihat koleksi ini sebagai nostalgia zaman kanak-kanak manakala generasi baharu pula tertarik dengan aspek teknologi, reka bentuk dan pengaruh anime yang menjadi sebahagian daripada trend semasa,” katanya.

Beliau berkata pameran itu turut mencerminkan peranan muzium dalam memperluas pendekatan pendidikan kepada masyarakat dengan mengetengahkan bukan sahaja artifak sejarah, malah objek kontemporari yang berpotensi menjadi warisan pada masa hadapan.

Sebanyak 16,456 orang telah mengunjungi pameran berkenaan setakat ini dan Jabatan Muzium Perak menjangkakan sasaran lebih 20,000 pengunjung akan hadir sepanjang pameran itu berlangsung sehingga 13 Dis.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama kebudayaan Malaysia dan Jepun berpotensi diperluas kepada penganjuran program pendidikan, sesi perkongsian ilmu, forum dan wacana berkaitan sejarah serta warisan kedua-dua negara.

“Harapan kami supaya kerjasama ini tidak terhenti setakat pertukaran pameran, sebaliknya berkembang kepada program pendidikan dan perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat kedua-dua negara.

“Muzium perlu dilihat sebagai institusi yang hidup dan sentiasa berkembang, bukan hanya tempat menyimpan barang antik tetapi ruang untuk masyarakat mengenali sejarah, memahami budaya dan mengikuti perkembangan semasa,” katanya.

Sementara itu, seorang guru Sekolah Kebangsaan Taman Jana, Taiping Syafiqah Zahidah Mohamed Zahari ketika ditemui berkata pendedahan kepada permainan tradisional dan moden dari Jepun itu mampu memberi pengalaman pembelajaran berbeza, terutamanya kepada kanak-kanak dalam merangsang pemikiran kritis serta kreativiti mereka.

Beliau berkata aktiviti permainan bukan sahaja memberi peluang kepada murid mengenali kaedah permainan masyarakat negara lain, malah ia membantu perkembangan kemahiran psikomotor serta menggalakkan mereka berfikir secara lebih kreatif.

“Melihat kepada manfaatnya, mungkin kita (pihak sekolah) boleh cuba membawa permainan seperti ini ke sekolah bagi memperkenalkan budaya permainan Jepun kepada murid,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement