KUCHING:Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Nuing Jeluing dipilih semula sebagai senator selepas tiada nama lain dikemukakan ahli dewan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pencalonan Dr. Nuing dicadangkan Menteri Utiliti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Ia disokong Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Dr Rundi ketika mengemukakan pencalonan memaklumkan Dr Nuing telah berkhidmat penuh dedikasi dan aktif ketika penggal pertamanya sebagai Ahli Dewan Negara.

“Senator Dr Nuing telah menjalani penggal pertama sebagai Ahli Dewan Negara dengan penuh dedikasi dan penghormatan.

“Dia sentiasa aktif menyertai dalam proses dewan negara dan sering mempromosi dan melindungi kepentingan, hak dan kesejahteraan Sarawak,” jelas Dr Rundi.

Dr Nuing yang dipilih sebagai senator kali pertama pada 11 Disember 2017 akan berakhir tempoh perkhidmatannya  pada 10 Disember 2020.

Dengan pemilihan semula ini, tempoh perkhidmatan beliau akan disambung dari 11 Disember tahun ini sehingga 10 Disember 2023

Berasal dari Miri, Dr Nuing pernah berkhidmat sebagai pegawai kesihatan di beberapa hospital di Sarawak sejak 1978.

Pada 1983, beliau menyertai Sarawak Shell Berhad sebagai Ketua Pegawai Kesihatan untuk syarikat itu di Malaysia sehingga bersara pada 2007.