Dua ahli Dewan Negara, Datuk Paul Low Seng Kuan dan Datuk Dr. Loga Bala Mohan Jaganathan hari ini mengangkat sumpah sebagai Senator untuk tempoh tiga tahun.

Upacara itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S.A. Vigneswaran di Bilik Kunjungan Hormat, Bangunan Parlimen pukul 10.30 pagi.

Seng Kuan yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia tamat tempoh penggal pertama pada 14 Mei lalu dilantik semula untuk penggal kedua merupakan wakil daripada MCA.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam industri pembuatan apabila terlibat dalam industri pembuatan kaca dan automotif selama lebih 35 tahun sebelum mengumumkan persaraan pada Mac 2010.

Sementara itu, Bala Mohan yang juga Naib Presiden MyPPP telah dilantik sebagai Senator pada 15 Mei 2013 dan dipilih menyertai Kabinet sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Anak kelahiran Bukit Mertajam itu turut aktif dalam beberapa persatuan masyarakat India seperti Indian Upliftment Society, International Society for Krishna Conciousness serta Pertubuhan India Bukit Mertajam.

Parlimen Malaysia menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini turut merakamkan tahniah kepada dua anggota Dewan Negara tersebut dengan lantikan untuk penggal kedua bagi tahun 2016 hingga 2019.