KUALA LUMPUR: Dua anggota tentera dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) meninggal dunia selepas dihempap pokok ketika menjalani operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, pada Ahad.

Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terkorban itu ialah Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, kejadian berlaku pada 2.30 pagi ketika pangkalan sementara di kawasan operasi pasukan itu dilanda ribut.

"Pada 2.50 pagi selepas suasana tenang, pemeriksaan keselamatan dilaksanakan dan mendapati kedua-dua anggota meninggal dunia akibat ditimpa pokok," katanya dalam satu kenyataan Ahad malam.

Katanya, TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham Mohd Kamal iaitu Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan isteri Allahyarham Muhammad Zaki, Nurummi Amirah Chepa serta seluruh ahli keluarga mereka.

"TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga.

"Jenazah Sarjan Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah, manakala jenazah Koperal Muhammad Zaki akan dikebumikan di Chuping, Perlis," katanya.