Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan dua bekas pengarah Cold Storage (M) Bhd daripada tuduhan pecah amanah membabitkan RM185 juta pada Jun 2011.

Hakim Datuk Nordin Hasan memutuskan demikian selepas menolak rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 20 Jun 2011 yang melepaskan dan membebaskan Datuk Yip Yee Foo, 58, dan Datuk Chun Wai Meng, 52, daripada pertuduhan itu.

Nordin dalam penghakimannya berkata mahkamah berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen S M Komathy Suppiah yang memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan.

"Dengan itu, rayuan pihak pendakwaan ditolak dan keputusan hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan," katanya.

Mengikut pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah Cold Storage (M) Bhd, menyalahgunakan wang itu dengan memindahkannya daripada akaun bank syarikat berkenaan di Deutsche Bank (Malaysia) ke akaun bank Cycle & Carriage Limited di Standard Chartered Bank di Singapura untuk pembelian unit saham yang sama oleh Ecoplex Sdn Bhd dan Fulham Finance And Trade Limited.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini di antara 16 Sept 1997 dan 20 Mac 1998.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan .

Yip diwakili peguam Ang Aik Guan dan Chung diwakili Gobind Singh Deo manakala pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjata Sekuriti, Rosmawar Roszain.

--BERNAMA