KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan dua beradik lelaki di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata tangkapan dibuat pada 11 Januari lepas di sekitar Kuala Lumpur dan individu berkenaan masih dalam tahanan reman.

Ahmad Faizal berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menjalankan siasatan kes itu sebagai amang seksual susulan penemuan seorang daripada dua beradik itu di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni pada 11 Januari lepas.

Semalam, ibu mangsa yang berusia 39 tahun dilapor berkata anaknya yang mesra dengan panggilan Along, 17, mendakwa dia dan adiknya, yang berusia 16 tahun telah dilarikan oleh individu yang tidak dikenali sebelum dibawa dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan hilang pada pagi 1 Januari lepas, selepas pulang dari solat Subuh di surau berdekatan perumahan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Sultan, Kuala Lumpur kerana dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

"Individu terbabit direman tujuh hari sehingga 19 Jan ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Allaudeen berkata siasatan polis mendapati remaja lelaki tersebut bukan diculik seperti dilaporkan, sebaliknya telah keluar dari rumah di Hulu Bernam, Selangor dan siasatan masih diteruskan terhadap kes terbabit.

Beliau berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung kejadian melalui talian penting Polis Kuala Lumpur di talian 03- 21159999 atau balai polis berhampiran

-- BERNAMA