Polis menemui dua bom tangan dan lebih 600 butir peluru pelbagai jenis yang disimpan dalam stor pili bomba di Pangsapuri Sinar Bukit Dumbar, di sini, malam tadi.

Bom tangan dan peluru yang masih aktif itu dijumpai di dalam stor di Tingkat 15, Blok 98, di pangsapuri berkenaan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ia susulan penahanan seorang suspek pengedar dadah sebelum ini.

Menurut sumber, berikutan penemuan itu, sepasukan polis daripada Unit Pemusnah Bom IPK Pulau Pinang bergegas ke lokasi kira-kira jam 9 malam bagi melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik bahan letupan itu selain mengetahui tujuan ia disimpan di lokasi itu.


Foto ihsan PDRM

Katanya, pihaknya juga sudah mengambil keterangan daripada beberapa penduduk di situ berhubung penemuan berkenaan.

Difahamkan satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara berkenaan.