KANGAR:Dua lelaki disyaki penjenayah lemas selepas kereta yang dinaiki mereka terhumban ke dalam tali air sewaktu dikejar polis di Utan Aji, Kangar pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian jam 10 pagi itu, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 21 dan 25 itu maut di lokasi kejadian selepas dikeluarkan dari kereta oleh orang awam.

Menurutnya, sebelum nahas itu berlaku, kedua-dua lelaki terbabit sedang melarikan diri daripada sekatan jalan raya pihak polis di Lencongan Dua Kangar dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic.

Hasil siasatan mendapati, kereta yang dinaiki kedua-dua lelaki itu tidak memberhentikan kenderaan sewaktu di sekatan terbabit sehingga memaksa anggota polis mengejar mereka.

Sewaktu melalui di laluan tepi sungai, kereta terbabit telah terbabas sehingga terhumban ke dalam tali air berkenaan sebelum tenggelam.

Katanya, orang awam yang melihat kejadian terbabit bergegas ke tali air terbabit bagi mengeluarkan dua lelaki terbabit.

Katanya, sewaktu dikeluarkan kedua-dua lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Wari berkata, mereka berdua disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba pada jam 11.40 pagi.

Hasil pemeriksaan, kereta yang dinaiki mereka mendapati kereta terbabit adalah kereta curi dan ia dilaporkan hilang di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Katanya, kedua-dua mayat terbabit dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.