ALOR SETAR: Dua lelaki ditahan ketika sedang melakukan aktiviti lumba haram di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata, kedua-dua mereka masing-masing berusia 20 dan 22 tahun itu menunggang secara berbahaya sehingga mengancam pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu direman sehari bagi membantu siasatan di bawah seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, Op Bersepadu Cegah Samseng Jalanan yang dilaksanakan bermula pukul 4 petang hingga 11 malam di lokasi disyaki menjadi tempat aktiviti samseng jalanan itu sebanyak 213 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan menyita 25 motosikal.
Katanya, saman berkenaan hasil daripada pemeriksaan ke atas 272 motosikal dalam operasi terbabit.
“Selepas selesai berlumba kami terus tangkap, masa mereka sedang berlumba pihak kami sedang memantau.. Penonton ramai sebab itu kita percaya ratus-ratus ini nak tengok aksi-aksi macam ni lah bila ada aksi tu penonton ada lah,” katanya pada sidang media di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, pada Ahad.
Menurut Syed Basri, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 272 motosikal dan 247 individu telah diperiksa untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Sebanyak 272 buah motosikal telah diperiksa dan berjaya di tahan manakala 247 individu kita percaya sebagai penunggang motosikal turut diperiksa di tempat kejadian dalam pemeriksaan ini pihak polis telah mendapati terdapat perlanggaran kesalahan dari aspek trafik pihak polis telah mengeluarkan saman sebanyak 213 saman,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 25 motosikal juga disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk pengubahsuaian struktur dan spesifikasi asal kenderaan yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Katanya, sembilan daripadanya milik pelajar berumur bawah 18 tahun.