KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki terlibat sindiket menawarkan bantuan mendapatkan gelaran 'Datuk' dari Istana Negara dengan mengenakan bayaran sebanyak RM150,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki iaitu pengarah di sebuah syarikat swasta berkenaan perkara itu.

"Mangsa telah diperkenalkan oleh kenalannya sorang lelaki dikenali dengan nama panggilan 'Shahidi' di Taman Tun Dr Ismail di sini.

"Semasa perjumpaan pada 26 Jan lepas, suspek telah menawarkan bantuan mendapatkan gelaran Datuk dari Istana Negara dengan harga tawaran sebanyak RM 150,000 kepada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata mangsa bersetuju dengan tawaran itu dan pada hari sama telah membuat bayaran secara tunai berjumlah RM 40,000 dan diberitahu oleh suspek bahawa baki bayaran boleh diselesaikan setelah gelaran Datuk diperolehi oleh pengadu.

Amihizam berkata mangsa dijanjikan gelaran Datuk pada 27 Jan lepas namun suspek gagal menunaikan janji dan memberi pelbagai alasan menyebabkan mangsa tidak berpuas hati dan rasa diri tertipu.

Beliau berkata sehubungan itu polis menahan kedua-dua lelaki yang disyaki di dua lokasi berasingan di Kedah semalam.

"Siasatan awal terhadap suspek lelaki berumur 48 tahun bekerja sebagai jurujual kereta adalah dalang utama dalam kes ini, yang mana suspek mendakwa pernah bekerja sebagai pengiring peribadi Istana di sebuah negeri dan mengakui telah berurusan dengan mangsa," katanya.

Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan polis turut merampas dua telefon bimbit dan sekeping Kad Ahli Setia Diraja yang mencurigakan turut dirampas.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini.

-- BERNAMA