KULAI: Dua orang lelaki dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Pulai di sini, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Wan Mohd Azrul Wan Mahamad Shaf'ii berkata, panggilan diterima dari saudara mangsa yang memaklumkan kejadian tersebut, jam 5.30 petang.

Katanya 10 anggota bomba digerakkan ke lokasi bagi operasi pencarian mangsa dengan dibantu anggota polis.

"Menurut maklumat yang diterima dari saudara mangsa, terdapat dua lelaki dewasa telah sesat ketika melakukan aktiviti mendaki.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menghubungi talian telefon mangsa bagi menjejaki lokasi semasa mangsa, tetapi rangkaian telefon tidak jelas.

"Operasi pencarian masih dijalankan sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.