Dua lelaki maut manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan pada Ahad.
Nahas berlaku di kilometer 12.5, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) kira-kira jam 8.30 pagi Ahad.
Kemalangan mengakibatkan pemandu Proton Satria, Muhamad Hisyam Alimun, 26, dan pemandu kereta Honda Civic, Fazroazahar Rahim, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala anak saudara Muhammad Hisyam, Airill Sarojini, 8, yang duduk di sebelah pemandu cedera di muka dan kepala.
Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Satria dari arah Al Muktaffi Billah Shah menghala ke Paka dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda Civic terbabit.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Zulkifli Md Ali berkata lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 8.34 pagi.
“Apabila kita membuat tinjauan mendapati ada tiga mangsa, seorang mangsa kanak-kanak telah dikeluarkan oleh orang awam, satu lagi mangsa dalam kereta Honda Civic telah di keluarkan oleh anggota bomba dan satu lagi yang telah meninggal dunia dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke bilik forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.