IPOH: Dua wanita yang hilang ketika mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, pagi tadi, dihanyutkan arus deras selepas ditimpa kepala air.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika mengesahkan perkara itu berkata, mangsa bersama-sama 27 pendaki lain ditimpa kepala air semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit.

Menurutnya, semasa kejadian kira-kira jam 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung itu telah terdengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung, lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

“Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita berbangsa Cina berumur 32 dan 46 tahun, berasal dari Cheras dan Klang, telah dihanyutkan oleh arus deras,” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

BACA: Dua wanita daki Gunung Suku hilang

BACA: Operasi mencari dua pendaki wanita hilang di Gunung Suku diperluas

Menurut beliau, tempat kejadian adalah di Hutan Simpanan Kekal Gunung Suku, terletak lebih kurang 3 jam perjalanan kaki dari jalan utama, lebih kurang 32 kilometer atau 40 minit perjalanan kereta dari Balai Polis Simpang Pulai, Ipoh.

Terdahulu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memberitahu, operasi mencari dan menyelamat dua pendaki itu diperluaskan lima kilometer radius dari lokasi mereka dipercayai hilang.

Identiti kedua-dua wanita itu juga telah dikenal pasti sebagai See Du Yen, 30, dan Ng Yee Chew, 46.