Mayat dua remaja yang lemas ketika mandi laut bersama 13 rakan yang lain di Pantai Sungai Karang, Beserah, petang semalam, berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Mayat pertama ditemui pada pukul 6.45 petang semalam manakala mayat kedua pada pukul 10.30 pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam enam petang semalam itu disedari salah seorang daripada mereka selepas melihat empat rakannya yang mandi laut terkapai-kapai ditarik arus.

Namun mereka hanya sempat menyelamatkan tiga daripadanya dimana salah seorang daripada mereka ditemukan mati lemas manakala seorang lagi tidak ditemui.

Mereka sebelum itu dikatakan baharu sahaja selesai menjalani latihan berkawad di sekolah.

Menurut Pengarah Maritim Pahang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM), Kapten Maritim Khoo Teng Chuan mayat Wan Zulkhairie Abdul Wan Aziz, 14, dari Kampung Chengal Lempong ditemui berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 6:45 petang semalam.

Kejadian  yang berlaku kira-kira jam enam petang semalam itu disedari salah seorang daripada mereka selepas melihat empat rakannya yang mandi laut terkapai-kapai ditarik arus.
Manakala mayat Harmizan Mutalib, 16, dari Kampung Balok pula ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, 10.30 pagi tadi.

Teng Chuan berkata, operasi pencarian di laut merangkumi 10 batu nautika dari pesisiran pantai Sungai Karang, Pantai Balok, Batu Hitam, Beserah dan sekitar Teluk Chempedak.

Jelasnya, keadaan cuaca dengan ribut dan keadaan angin bertiup 40 hingga 50 kilometer sejam arah tiupan laut dengan keadaan ombak 2.5 hingga 3.5 meter menyebabkan mangsa Harmizan ditemui di kawasan pantai di Batu Hitam.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menziarahi jenazah mangsa.

Baginda turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Jenazah Wan Zulkairie dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karang malam tadi manakala jenazah Harmizan dikebumikan di Tanah Perkuburan Balok hari ini.