MELAKA: Dua remaja masing-masing berusia 16 tahun maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Krubong Permai di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa membabitkan penunggang motosikal, Putra Norsyaqir Putrawirawan dan pembonceng, Erwan Idris.

"Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang pemuda berusia 25 tahun telah masuk ke laluan bertentangan akibat terlelap dan melanggar kedua-dua mangsa sebelum melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Akibat kemalangan tersebut, Erwan yang parah di badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Putra Norsyaqir pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu Perodua Axia yang memandu seorang diri dan pemandu serta penumpang Perodua Myvi pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya sampel darah pemandu Perodua Axia itu telah diambil bagi mengesan kandungan alkohol dan dadah dalam darah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-- BERNAMA