IPOH: Dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang Selasa lepas ditemukan selamat di Bercham di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima dua laporan berasingan daripada dua orang pengadu menyatakan cucu serta anak perempuan mereka berusia 14 tahun tidak pulang ke rumah dari sebuah sekolah menengah di sini.

"Kedua-dua remaja itu ditemukan dalam keadaan selamat di rumah seorang rakan di Bercham di sini pada jam 7 malam pada Rabu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Yahaya berkata pihaknya menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis sehingga membawa kepada penemuan dua remaja berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak masing-masing di luar rumah bagi menjamin keselamatan mereka.

-- BERNAMA