SEREMBAN: Dua rumah, sebuah jentera berat dan dua kereta musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Nilai, di sini, petang Isnin.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Nilai, Komander Operasi Bakarya Mohd Salleh berkata, rumah pertama berkeluasan 2.79 x 4.65 meter persegi terbakar lebih kurang 80 peratus.

Rumah kedua pula melibatkan kebakaran di bahagian dapur lebih kurang 50 peratus serta sebuah tokong berkeluasan 2.79 x 4.65 meter persegi terbakar lebih kurang 80 peratus.

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.20 petang tadi berkenaan kejadian tersebut daripada orang awam. Seramai 14 anggota terlibat telah memadamkan kebakaran itu sehingga 7.45 malam tadi, operasi tamat kira-kira 35 minit kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, selain itu sebuah jentera berat (jentolak) terbakar 80 peratus dan dua kereta Proton Saga musnah 100 peratus bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA