Ketua Bahagian UMNO Padang Serai Datuk Asmadi Abu Talib mengaku menerima wang berjumlah RM50,000 dari Datuk Seri Najib Tun Razak terus ke akaun peribadinya.

Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, bekas calon BN untuk DUN Merbau Pulas itu berkata, ia lebih mudah berbanding dimasukkan ke akaun UMNO Bahagian, kerana ia harus melalui audit dan sebagainya.

“Kalau masuk dalam akaun UMNO Bahagian, dia akan melibatkan pembentangan di mesyuarat agung (bahagian) dan sebagainya.

“Tetapi kalau terus kepada saya, ia tak masuk penyata kewangan, sebaliknya terus ke pengurusan bahagian sahaja,” kata saksi kesembilan itu sewaktu memberi keterangan.

Sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi menyoal mengapa dana itu tidak dimasukkan terus ke dalam akaun bank UMNO Bahagian Padang Serai.

Terdahulu, ketika disoal ketua pasukan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Asmadi berkata duit yang diterima pada awal 2015 itu, digunakan sepenuhnya untuk program-program parti, termasuk tanggungjawab korporat sosial (CSR) kepada penduduk parlimen Padang Serai.

Turut memberi keterangan ialah Setiausaha UMNO Bahagian Johor Bahru Abu Talib Alias, yang mengaku menerima arahan dari Tan Sri Shahrir Samad ketika itu untuk mengambil cek bernilai RM300,000 dari Allahyarham Datuk Azlin Alias, bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ketika 2015.

Beliau berkata, duit itu kemudian digunakan sepenuhnya untuk pengurusan program parti di Johor Bahru.

Abu Talib kemudian diminta Timbalan Pendakwaraya Muhammad Saifuddin untuk mengecam Najib.

Beliau kemudian tercari-cari di mana bekas perdana menteri itu sebelum, dan akhirnya nampak Najib di kandang tertuduh, lantas menyebut - “Tu dia! Malu apa bossku!”