NAIROBI: Presiden Rundingan Iklim COP28, Sultan Al Jaber berkata, dunia sedang alami kekalahan dalam perlumbaan untuk mencapai matlamat perubahan iklim.

Al Jaber merupakan jurucakap khas Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi perubahan iklim dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat gergasi minyak ADNOC.

Penilaian suram oleh Al Jaber itu menyusul tiga hari sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerbitkan prestasi negara-negara dalam usaha menangani perubahan iklim.

Beliau berkata demikian kepada perwakilan di Sidang Kemuncak Iklim Afrika yang julung kali diadakan di ibu negara Kenya, Nairobi.

Sidang kemuncak itu antara lain memberi tumpuan kepada menggerakkan pembiayaan untuk tindak balas Afrika terhadap perubahan iklim.

Sementara itu, pemimpin Afrika menyeru perubahan kepada sistem kewangan iklim antarabangsa yang tidak adil.

Walaupun Afrika mengalami beberapa kesan perubahan iklim yang paling teruk, benua itu hanya menerima kira-kira 12 peratus daripada pembiayaan yang diperlukan untuk mengatasinya.

Secara khusus, negara-negara Afrika merancang untuk mendesak COP28 untuk pengembangan hak pengeluaran khas di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ini berupaya membuka jalan kepada pembiayaan iklim bernilai AS$500 bilion sekali gus boleh dimanfaatkan sehingga lima kali ganda.