Skip to main content

Malaysia

[DUPLICATE] Polis nafi hantaran tular dakwa kes culik pelajar sekolah agama

PDRM logo_filepic
Orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan situasi panik di kalangan masyarakat. - Gambar hiasan
Advertisement

SUNGAI BULOH: Polis menafikan dakwaan kes cubaan culik pelajar sekolah agama di Bandar Baru Sungai Buloh di sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, satu hantaran di media sosial berkenaan kes itu dikesan pihaknya kira-kira jam 1.15 petang, Ahad.

"Pihak polis mengesahkan menerima laporan daripada ibu pelajar terlibat dan hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada kes cubaan culik seperti yang ditularkan.

"Pelajar tersebut juga dalam keadaan baik dan selamat bersama keluarga," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan situasi panik di kalangan masyarakat.

Tambahnya, sebarang maklumat yang diterima perlulah disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian Hotline 24 jam iaitu 03-61579204 atau talian kecemasan 999 terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.

Jelas Mohd Hafiz, mereka yang menyebarkannya boleh didakwa dan dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 505b Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

"Tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya," ujarnya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement