KUALA LUMPUR:SEPERTI selalu, beliau tidak boleh mendengar kesusahan yang dihadapi oleh mana-mana individu, pasti akan terus 'terbang' bagi menghulurkan bantuan. Itulah karekter figura, Ebit Lew.

Sifat dermawan yang dimiliki pendakwah bebas ini menjadikan beliau digelar sebagai 'wira' oleh warganet.

Terbaharu, Ebit tampil menghulurkan bantuan kepada pasangan suami isteri, S Ganesh, 34, dan Parameswari, 32, yang terpaksa bermalam di dalam kenderaan sejak lapan bulan lalu selepas rumah mereka musnah dijilat api.

Menerusi kemas kini di laman Facebook hari ini, Ebit meluahkan rasa sedih selepas mendengar kisah lima beranak itu, sebelum bergegas dari Johor Bahru ke Pulau Pinang.

Bagi meringankan beban lima beranak itu, Ebit memaklumkan telah menyewa sebuah rumah tiga bilik dan akan menanggung kos sewa sebulan sebelum pasangan itu mendapat rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Sudah dua kali mohon semenjak rumah terbakar. Tetapi jika mereka ingin terus (tinggal) di situ pun saya akan terus bayarkan dengan gembira.

"Saya hadiahkan peti ais, mesin basuh, televisyen, periuk nasi elektrik, kipas, katil queen dan single, barang dapur dan duit belanja.

"Sayu masa saya nak belikan barang untuk mereka tadi," demikian katanya dalam entri tersebut, hari ini.

 
Sumber Facebook ebitlewofficialpage

Jelas Ebit, beliau menangis selepas terbaca mengenai nasib lima beranak itu.

"Sedihnya lapan bulan makan tidur dalam kereta, dan mandi di tandas awam. Kerja pengawal keselamatan, malam bawa keluarga tidur dalam kereta.

"Rumah mereka terbakar pada bulan empat lalu. Sedihnya rasa. Saya tidur lena, makan sedap, (tetapi) ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta. Berpantang selepas bersalin hanya dalam kereta sahaja," luahnya lagi.

Bercerita lebih lanjut Ebit berkata, anak-anak pasangan itu begitu gembira apabila dapat menikmati kek yang dibeli olehnya,

Beliau turut menyifatkan pasangan itu sangat baik, dan mereka tidak henti menzahirkan ucapan terima kasih.

"Mereka menangis terharu. Katanya kenapa banyak sangat ustaz? Mereka suka sangat tengok rumah baharu, cantik dan selesa.

"Gembira dapat tengok senyuman anak-anak comel," katanya.


Semalam, Astro AWANI melaporkan lima beranak itu bukan sahaja tinggal di dalam kereta, malah pasangan suami isteri itu terpaksa memberi minum kopi kepada anak mereka, selain menjamah kepingan biskut bagi mengalas perut.