Kerajaan Malaysia akan meneruskan rundingan secara sulit dengan China berhubung pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata tidak ada mana-mana Kementerian yang mengetuai rundingan tersebut, sebaliknya ia dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia.
Menurut beliau, setelah keputusan dicapai, pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak ada mana-mana menteri dibenar memberi kenyataan awal.
“Tentu ada jangka masa diletakkan. Namun, saya rasa biarlah kita adakan perbincangan di antara kedua-dua Kerajaan secara sulit.
“Saya rasa itu perkara biasa dan tidak harus dihebohkan?” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah beliau, ketetapan itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.

Ditanya berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai pengurangan kos projek sehingga RM40 bilion, Guan Eng bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu dan mengulas lanjut mengenainya.

"Saya di sini hanya berbincang mengenai kepentingan rakyat Malaysia dan bukannya mengenai laporan oleh akhbar berkenaan. Anda boleh tanya akhbar berkenaan," katanya.

Akhbar The Star melaporkan China Communication Construction Co Ltd (CCCC) dipercayai sedang mencari jalan penyelesaian terbaik dengan kerajaan Malaysia untuk mengelakkan pembatalan projek ECRL.

Sumber industri mendakwa firma milik kerajaan China itu bersetuju untuk mengurangkan kos lebih rendah kepada sekitar RM40 bilion.