SHAH ALAM: Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap tiga individu termasuk seorang eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu siasatan berkenaan kes menyalahgunakan kedudukan dalam urusan projek di syarikat GLC itu.

Perintah reman ketiga-tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 40 dan 57 tahun sehingga 29 Okt itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain lelaki yang bertugas sebagai eksekutif GLC, dua lagi yang direman adalah pemilik syarikat swasta disyaki terlibat dalam projek berkenaan.

Menurut sumber, eksekutif syarikat GLC terbabit telah menggunakan kedudukannya sebagai ketua projek untuk mengesyorkan dan melantik proksinya sebagai pengurus projek di syarikat swasta itu bagi menguruskan projek berkenaan bagi pihaknya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

-- BERNAMA