MALAYSIA
Enam individu dipenjara lima tahun larikan dan kurung lelaki warga Palestin

Enam lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah melarikan dan mengurung seorang lelaki warga Palestin di sebuah chalet pada 2022. -Gambar hiasan/iStock
KUALA LUMPUR: Enam lelaki yang sebelum ini berdepan pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana melarikan dan mengurung lelaki terbabit di sebuah chalet, tiga tahun lepas.
Ringkasan AI
- Enam lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah melarikan dan mengurung seorang lelaki warga Palestin di sebuah chalet pada 2022.
- Hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan masing-masing, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun dan denda.
- Lapan lagi tertuduh masih dibicarakan atas pertuduhan menculik untuk mendapatkan maklumat rahsia, dengan sebahagian turut berdepan pertuduhan pengubahan wang haram melebihi RM250,000.
Kesemua mereka didakwa bersama-sama melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin berusia 31 tahun dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi, di sini pada 10.40 malam, 28 Sept 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, lelaki Palestin itu dilarikan dan dikurung di sebuah chalet di Hulu Langat sebelum pihak polis membuat serbuan berpandukan maklumat yang diperoleh dan menjumpai mangsa dengan keadaan tangan serta kakinya diikat menggunakan pengikat kabel.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Badius Zaman Ahmad memohon supaya kesemua tertuduh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun, mengambil kira kesalahan dilakukan mereka telah memberikan kesan buruk kepada negara.
"Sebelum ini, kesemua tertuduh didakwa atas pertuduhan menculik, namun representasi mereka telah diterima. Mereka seharusnya bersyukur kerana pertuduhan pilihan telah ditawarkan kepada mereka.
"Tertuduh-tertuduh telah direman selama dua hingga tiga tahun. Oleh itu, mohon hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun," katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Mohd Sabri Othman.
Peguam Norma Goh Kim Lian yang mewakili Mohamad Norakmal, Mohd Azwan, Dody, Mohamad Sufian dan Tengku Hazarul memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain mempunyai tanggungan keluarga.
"Dalam kes ini, anak guam kami tidak mendapat faedah serta manfaat daripada perbuatan yang dilakukan.
"Mereka juga tiada rekod kesalahan lampau dan sentiasa memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa," katanya.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Muhammad Al Hatim turut memohon hukuman penjara minimum kerana anak guamnya telah menyesal dan memohon maaf selain dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Sementara itu, kes culik mangsa sama yang dihadapi lapan lagi tertuduh, iaitu Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44, Mohamad Naziree Mustapha, 44, Faizull Hardey Mohd Isa, 45, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30, Mohd Zaidi Mohd Zain, 59, Nidarahayu Zainal, 39, Raibafie Amdan, 44, dan Edy Ko'im Said, 45, diteruskan dengan perbicaraan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah menahan mangsa di lokasi dan waktu yang sama untuk mendapatkan ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Kelapan-lapan individu berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri, iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan membabitkan jumlah lebih RM250,000, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami