PUTRAJAYA: Enam resolusi yang dicapai dalam Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (TIAR) Peringkat Kebangsaan 2026 Jumaat lepas akan dibawa kepada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) akan datang untuk penelitian dan pertimbangan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman berkata langkah itu bagi memastikan resolusi tersebut bukan hasil persidangan semata-mata sebaliknya dapat diterjemahkan kepada pembaikan sistem yang konkrit terutama dalam memperkukuh pencegahan rasuah.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM Bil. 4/2026 di sini hari ini, beliau berkata antara resolusi itu adalah penubuhan Kerangka Tatakelola Geran Nasional (KTGGN) yang bersepadu.
Katanya resolusi lain adalah pembangunan Kaedah-Kaedah Perolehan Kerajaan (Kerjasama Awam Swasta) sebagai peraturan khusus mengikut kerangka perundangan bagi memperkukuh pengurusan konsesi kerajaan serta pemerkasaan ekosistem eCOSS melalui integrasi data pintar bagi kawalan transaksi minyak masak.
Beliau berkata tindakan membawa resolusi itu kepada JKKTN bertujuan untuk penelitian dan pertimbangan, selaras dengan pendekatan SPRM yang mahu memperkukuh pencegahan secara lebih proaktif, bersasar dan berasaskan risiko.
Dalam perkembangan berkaitan, Abd Halim berkata mesyuarat JKKTN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan secara berkala, iaitu tiga kali setahun.
Beliau berkata mesyuarat JKKTN diadakan hari ini namun enam resolusi berkenaan tidak sempat dibawa untuk pertimbangan kerana persidangan TIAR baru sahaja selesai pada Jumaat lepas.
Katanya pendekatan pencegahan rasuah perlu menggunakan dapatan siasatan, data dan analisis risiko bagi mengenal pasti ruang yang boleh membuka peluang kepada perlakuan rasuah.
Beliau berkata Unit Integriti juga perlu terus diperkasakan sebagai rakan strategik pihak pengurusan dalam mengatasi kelemahan sistem serta mengenal pasti risiko supaya sebarang bentuk pelanggaran peraturan dapat dibendung lebih awal.
Sebelum itu Abd Halim dalam ucapannya berkata perjuangan SPRM tidak boleh hanya tertumpu kepada tindakan selepas sesuatu kesalahan dilakukan, sebaliknya pencegahan perlu diperkasakan menerusi pendekatan yang lebih awal dan berasaskan risiko.
-- BERNAMA