Skip to main content

Politik

Fahmi kesal Chean Chung tidak guna saluran dalaman, tidak hadir mesyuarat MPP

KUALA LUMPUR, 12 Jun -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (kiri) yang juga jurucakap Kerajaan MADANI ketika sidang media mingguan di Angkasapuri hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi (foto) berkata perbezaan pandangan dalam parti bukan perkara luar biasa dan saluran seperti MPP perlu dimanfaatkan untuk menyampaikan teguran serta pandangan berhubung hala tuju parti. -Gambar fail/BERNAMA

PUTRAJAYA: Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang didakwa tidak memanfaatkan saluran dalaman parti untuk menyuarakan pandangan serta kebimbangannya.

Sebaliknya, beliau berkata Chean Chung juga telah lama tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.

Fahmi berkata, perbezaan pandangan dalam parti bukan perkara luar biasa dan saluran seperti MPP perlu dimanfaatkan untuk menyampaikan teguran serta pandangan berhubung hala tuju parti.

Menurutnya, terdapat ramai pemimpin dalam MPP yang mempunyai pandangan berbeza daripada kepimpinan tertinggi, namun mereka memilih untuk terus terlibat dalam perbincangan dan proses membuat keputusan.

"Salah seorang sahabat lama saya, Elizabeth Wong (Ahli MPP), sering menyatakan pandangan yang jauh berbeza daripada pandangan Presiden atau pimpinan lain dalam mesyuarat MPP.

"Namun, beliau tetap hadir dan menggunakan platform itu untuk memastikan parti kekal berada di landasan yang betul.

"Saya fikir Chean Chung juga sepatutnya melakukan perkara yang sama," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Chean Chung bertanggungjawab menjelaskan keputusannya kepada para pengundi, khususnya anggota parti yang memberikan sokongan dan mandat kepadanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa dakwaan tekanan termasuk sekatan akses kepada sistem MyKHAS sepatutnya dibincangkan secara dalaman dan tidak pernah dibangkitkan kepadanya sebelum ini.

Menurutnya, Chean Chung pernah menghubunginya untuk berbincang, namun isu tersebut tidak disentuh.

"Beliau boleh datang berbincang dan itu bukan satu masalah.

"Saya boleh tunjukkan mesej WhatsApp beliau kepada saya yang meminta untuk bertemu dan berbincang.

"Jadi, bagi saya, jika ada kemahuan untuk menyelesaikan sesuatu perkara, ruang perbincangan sentiasa terbuka," katanya.

Chean Chung dalam kenyataan di Facebook mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli MPP PKR berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal sebagai ahli PKR serta meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen sehingga pembubaran Parlimen.

Chean Chung berkata keputusan itu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti, selain mendakwa beberapa isu termasuk pembatalan akses sistem MyKHAS bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya pada 29 Mei lalu.

 

Must Watch Video

Advertisement