PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan muncul dalam episod pertama program bual bicara terbitan Jabatan Penerangan (JaPen), 'Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia', yang akan disiarkan pada pukul 10.30 pagi esok, di laman media sosial rasmi JaPen.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu hari ini, JaPen memaklumkan pelakon, penyanyi dan usahawan tempatan iaitu Nur Fazura Shariffudin, akan menjadi panel bagi episod sulung program bual bicara itu, yang akan mengupas topik Fear of Missing Out (FOMO).

"FOMO merupakan topik yang diketengahkan, ia menyentuh mengenai kebimbangan sosial daripada impak digitalisasi dalam kalangan rakyat, terutamanya generasi muda, serta meneroka pengalaman panel bagi menguruskan perasaan takut ketinggalan terhadap sesuatu perkara baharu," menurut kenyataan itu.

JaPen memaklumkan program bual bicara berkonsep santai itu, menyasarkan penglibatan generasi muda khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.

Kenyataan itu memaklumkan 'Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia' turut akan membincangkan topik berkaitan dasar, inisiatif kerajaan Madani, di samping memupuk semangat patriotik, keharmonian dan integrasi nasional.

"Program bual bicara enam episod itu berdurasi antara 30 dan 45 minit, yang terbahagi kepada tiga segmen utama iaitu Tentang Kita, Korang Tanya dan Slot Richiamo, yang merupakan kerjasama JaPen bersama Jabatan Pendidikan Tinggi serta Richiamo Coffee Sdn Bhd," menurut kenyataan itu.

JaPen yang ditubuhkan pada 20 Okt 1945 merupakan jabatan di bawah Kementerian Komunikasi yang berperanan melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat akar umbi, dalam usaha membentuk komuniti yang bermaklumat.

-- BERNAMA