NATIONAL
Fahmi ucap takziah atas pemergian legenda penyiaran, Yahya Longchik

Allahyarham Yahya Longchik yang merupakan penyampai berita TV dan radio terkenal dari 1960an hingga 1990an meninggal dunia pada usia 86 tahun pada Isnin.
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Yahya Longchik atas pemergian bekas penyampai radio dan berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu.
Allahyarham yang merupakan penyampai berita TV dan radio terkenal dari 1960an hingga 1990an itu meninggal dunia pada usia 86 tahun pada Isnin.
Menerusi hantaran X semalam, Fahmi menyatakan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada dunia penyiaran negara.
"Sebagai antara suara dan wajah yang membentuk landskap berita TV dan radio tanah air menerusi @RTM_Malaysia, Allahyarham dikenang bukan sahaja atas gaya penyampaiannya yang berkarisma, tetapi juga atas dedikasinya terhadap mutu dan integriti penyiaran."Lebih daripada penyampai berita, beliau adalah simbol amanah, kredibiliti dan khidmat kepada rakyat," katanya.
Fahmi turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Selepas bersara daripada RTM, Yahya menyertai Pos Malaysia pada 1990 sebagai Pengurus Kumpulan (Perhubungan Awam).
-- BERNAMA
TAG: Yahya Longchik, Fahmi Fadzil, RTM, ucapan, takziah
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami