KUALA LUMPUR: Falsafah Payung Rahmah yang diperkenalkan kerajaan adalah untuk mewujudkan kesan limpah ekonomi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia dicapai menerusi pemberian tunai serta beberapa bantuan langsung lain kepada rakyat supaya boleh dibelanjakan dalam ekonomi domestik.

“Satu falsafah segala Payung Rahmah yang melibatkan inisiatif belanja RM5 atau ke bawah (Menu Rahmah), sebenarnya ia menunjukkan keprihatinan kita kepada rakyat.

"Rakyat itu mesti menjadi fokus utama kerajaan kerana kerajaan ini ingin membela dan membantu rakyat, itu yang penting.

“Dalam masa yang sama kita memberi sehingga RM8 bilion kepada 8.4 juta penerima melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) termasuk RM130 juta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi lebih 210,000 penerima.

"Selain itu,RM200 diberikan kepada 2 juta belia dengan implikasi kewangan RM400 juta melalui eBeliaRahmah, dan segalanya itu dibelanjakan.

“Apabila dibelanjakan ia akan mengembangkan ekonomi setempat dan membantu rakyat,” katanya semasa ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Selasa.


Jelas Ahmad, kerajaan juga komited untuk memberi tumpuan kepada aspek pembangunan negara secara menyeluruh dengan memperuntukkan RM99 bilion daripada Belanjawan 2023 khusus untuk tujuan pembangunan yang disifatkan sebagai jumlah terbesar pernah diluluskan bagi tujuan tersebut.

“Pada Belanjawan 2023, RM388.1 bilion diluluskan. Itu belanjawan terbesar dalam sejarah.

"Daripada itu RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion, yang juga terbesar dalam sejarah, untuk belanja pembangunan.

“Kita sudah (belanjakan) sampai 49 peratus setakat Jun. Bererti separuh tahun, separuh yang telah dibelanjakan.

“Perdana Menteri tidak berpuas hati kerana beliau mahu 60 peratus dibelanjakan menjelang Ogos. Kita rasa kita boleh buat untuk 60 peratus itu dibelanjakan untuk pembangunan yang disegerakan,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.