MELAKA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menawarkan khidmat untuk memasarkan lambakan hasil pertanian dari negeri lain bagi memastikan pendapatan usahawan di bawahnya tidak terus terjejas.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Ghazale Muhamad berkata isu lambakan itu dilihat banyak berpunca daripada kekangan pergerakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik COVID-19.

"Seperti pada Januari lepas, kita telah membeli nanas Moris di Johor dan dijual semula di pasar tani atau program lain di bawah FAMA dengan harga yang lebih murah kepada pengguna.

"Kita juga dimaklumkan strawberi di Cameron Highlands, Pahang turut berdepan masalah sama disebabkan kekurangan permintaan daripada beberapa sektor seperti perhotelan. Jadi untuk membantu usahawan ini, kita akan beli dengan pihak peladang untuk dipasarkan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan MyRakyat yang turut dihadiri Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Dalam pada itu, Ghazale berkata FAMA Melaka menyasarkan 240 usahawan berada di bawahnya menjelang hujung tahun ini.

Katanya setakat ini terdapat 122 usahawan yang aktif menyertai program anjuran FAMA Melaka seperti pasar tani, MyBest Buy, Bazar MyRakyat dan Melaka Agro Market.

"Penglibatan usahawan dalam program dianjurkan itu dapat membantu rakyat tempatan mengurangkan kos sara hidup penduduk di bandar, selain membantu usahawan yang terkesan oleh COVID-19 memasarkan produk dan meningkatkan kembali pendapatan mereka," katanya.

-- BERNAMA