NATIONAL
Femforward 2025: Tan Sri Sharifah Zarah terima Anugerah Khas Kecemerlangan Sepanjang Hayat

Femforward 2025 menjadi sebuah platform inklusif yang akan dijadikan acara tahunan, menghimpunkan pemimpin wanita, usahawan, profesional dan aktivis komuniti - Gambar WiLAT
PETALING JAYA: Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad menerima Anugerah Khas Kecemerlangan Sepanjang Hayat dalam majlis Anugerah Femforward 2025 yang berlangsung, di sini pada Rabu malam.
Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa beliau dalam kepimpinan dan pembangunan wanita di Malaysia.
Women in Logistics and Transport (WiLAT) dalam kenyataan berkata, penganugerahan Femforward 2025 disampaikan kepada wanita daripada pelbagai bidang.
Ia sekali gus, menjadi simbol penghargaan terhadap ketokohan, dedikasi dan pencapaian mereka dalam sektor-sektor penting negara."Femforward 2025 menjadi sebuah platform inklusif yang akan dijadikan acara tahunan, menghimpunkan pemimpin wanita, usahawan, profesional dan aktivis komuniti.
"Ia untuk memperkukuh jaringan kerjasama, memacu tindakan kolektif dan memperjuangkan aspirasi wanita ke arah masyarakat yang lebih progresif dan sejahtera," katanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi HAWA Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Wanita dalam Eksport dan Perindustrian (WITI), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Shahrizat dalam ucapan menegaskan, dedikasi dan semangat wanita memungkinkan pihaknya berhimpun pada hari ini untuk mengiktiraf sumbangan wanita yang tidak ternilai dalam pelbagai aspek kehidupan.
Sebagai sebahagian daripada program, satu forum khas bertajuk “Memacu Kecemerlangan ESG"
telah diadakan, menghimpunkan tokoh industri, pemimpin korporat dan pakar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Ia bagi membincangkan peranan wanita dalam memperkasa agenda ESG, serta memperkukuh daya saing organisasi menerusi amalan mampan dan lestari.
Dalam sesi tersebut, Presiden The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia, Prof. Muhammad Zaly Shah turut mengumumkan bahawa Saito University College akan menawarkan biasiswa khas kepada wanita dalam bidang logistik bagi ahli WiLAT Malaysia, satu inisiatif penting dalam memupuk bakat serta kepimpinan wanita dalam sektor tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami