KUALA LUMPUR: Sebanyak lima lokasi saringan ditetapkan bagi semua kenderaan yang menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 pada Ahad ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setiap kenderaan akan melalui pemeriksaan tiket, pas kenderaan dan pelekat akses sebelum dibenarkan memasuki kawasan SIC.
“Bagi memastikan kawalan akses yang teratur, semua kenderaan yang menghala ke SIC diwajibkan melalui pemeriksaan saringan di lima lokasi utama.
“Semua kenderaan yang menuju ke SIC akan disaring dengan pemeriksaan tiket, pas kenderaan dan pelekat akses sebelum pengunjung dibenarkan masuk ke kawasan SIC,” katanya.
Lima lokasi berkenaan melibatkan laluan dari arah Plaza Tol KLIA ke Jalan Pekeliling, dari arah KLIA 1 ke Jalan Pekeliling, Sebelum bulatan Masjid menuju ke SIC, dari arah Kota Warisan ke Lebohan Dagang menuju ke Jalan KLIA 1 dan Simpang Empat Jalan Kuarters KLIA menuju ke SIC (lampu isyarat Enstek).
Dalam pada itu, beberapa laluan alternatif turut dikenal pasti bagi mengurangkan kesesakan, khususnya bagi perjalanan dari arah utara ke selatan.
Antaranya, pengguna boleh menggunakan Lebuhraya ELITE sebelum keluar di susur Saujana Putra dan meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menuju ke Plaza Tol Kuala Lumpur-Seremban.
Pengguna juga boleh menggunakan Lebuhraya ELITE menuju ke susur Putrajaya sebelum meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Maju (MEX) ke Plaza Tol Kuala Lumpur-Seremban.
“Maklumat tambahan jalan alternatif jika berlaku kesesakan dari arah utara ke selatan, pengguna boleh menggunakan Lebuhraya ELITE, kemudian susur Saujana Putra masuk ke SKVE dan seterusnya ke Plaza Tol Kuala Lumpur-Seremban.
“Satu lagi alternatif adalah melalui Lebuhraya ELITE menghala ke susur Putrajaya, seterusnya ke Lebuhraya MEX dan Plaza Tol Kuala Lumpur-Seremban,” katanya dalam sidang media berhubung penugasan kawalan keselamatan dan lalulintas sempena penganjuran Gulf Air Bahrain Formula 1 Grand Prix di Malaysia di ibu negara pada Khamis.
Selepas hampir sedekad, F1 kembali ke Malaysia hujung minggu ini, namun dengan penganjuran yang berbeza daripada kebiasaannya.
Berbanding dengan Grand Prix (GP) Malaysia sebelum ini, SIC akan menjadi tuan tumah F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik itu sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij Bahrain itu.
Ekoran itu, tambah Shazeli, Seramai 365 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ditugaskan bagi kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan kesesakan, penguatkuasaan undang-undang serta kawalan pengiring VIP sepanjang acara itu.