PASIR SALAK: Gagal memotong kenderaan di hadapan dipercayai punca nahas dua kenderaan di Jalan Kampung Gajah - Tanjung Tualang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu wanita berusia 33 tahun bersama kembarnya dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang ke Kampung Gajah.

Menurutnya, setibanya di lokasi kemalangan, kereta yang mereka naiki dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapannya lalu bertempung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu dan penumpang Nissan X-Trail hanya mengalami cedera ringan.

Menurut Mohd Yusri, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Changkat Melintang, Parit, mendapati punca kematian pasangan kembar itu disebabkan ‘polytrauma injuries consistent with road traffic accident’.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi Inspektor Nur Muhammad Aizat Abdullah dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Perak Tengah di talian 05-3712222.

Pada Rabu, media melaporkan dua wanita maut manakala sepasang suami isteri cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan kira-kira jam 11.30 pagi di Kampung Changkat Rambai, Kampung Gajah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mangsa yang meninggal dunia merupakan pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Kancil.