KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 518 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 517 individu telah dikompaun manakala seorang direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (193), aktiviti pusat hiburan (119), tidak memakai pelitup muka (71), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (58), dan lain-lain (77)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 58,644 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan
Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,361 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,682 anggota telah membuat pemantauan di 3,543 pasar raya, 4,880 restoran serta 1,623 penjaja, 1,293 kilang, 3,377 bank dan 508 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,024 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 62 terminal pengangkutan udara,"ujarnya. 

Op Benteng

Dalam pada itu, Operasi Benteng berjaya menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas dua kenderaan darat, katanya.

"Sebanyak 292 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam yang melibatkan  Op PENAWAR, Op Benteng dan Op Benteng AKSEM," katanya.

Kerajaan katanya, akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan terutamanya di lorong-lorong tikus.

Kuarantin Wajib

Beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga 5 Disember, seramai 81,896 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka telah ditempatkan di 79 hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

Daripada jumlah itu, seramai 11,485 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 509 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Seramai 69,902 individu pula telah dibenarkan pulang, katanya.

Mereka dari 36 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman.

Barang Keperluan Asas

Semalam, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 656 premis perniagaan termasuk peruncit (462), pemborong (163) dan pengilang (31).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," kata Ismail Sabri lagi. 

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 550 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Tapak Pembinaan

Sejak April hingga 5 Disember 2020, sebanyak 13,786 pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 7,930 tapak binaan di seluruh negara.

"Semalam, anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di lapan tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan," tambahnya.