KUALA LUMPUR: Gaji minimum pegawai rendah polis wajar dinaikkan mengikut keperluan ekonomi semasa, kata Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) Sub Inspektor Abd Rashid Ali.

Beliau berkata ini berikutan gaji permulaan Konstabel (YA1) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula daripada RM1,441 dan pemberian elaun antara RM600 hingga RM700, bersifat tidak tetap serta mengikut lokasi penugasan.

"Gaji minimum pegawai rendah polis ketika ini sangat tidak setimpal dengan keperluan ekonomi semasa...jika ikut peredaran semasa perlu (dinaikkan) RM1,800, tetapi ikutkan ia masih tidak mencukupi dengan kos sara hidup ketika ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abd Rashid berkata selain perbelanjaan untuk diri sendiri, anggota perlu menyara kehidupan ahli keluarga, perubatan dan persekolahan anak-anak yang semakin meningkat.

Beliau berkata, ada antara anggota yang berkhidmat di ibu negara terpaksa tinggal di luar kawasan Kuala Lumpur, kerana kos sewaan rumah lebih rendah.

"Kita harap kerajaan dapat menyambut baik cadangan kenaikan gaji minimum pegawai rendah polis, bagi meningkatkan semangat dan meringankan beban anggota yang terkesan dalam meneruskan kehidupan masing-masing," katanya.

Selain itu, Abd Rashid berkata pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan kenaikan gaji minimum RM1,500 bermula daripada Skim Perkhidmatan Orang Asli dan Sokongan, bagi membolehkan anggota terbabit mendapat gaji yang setimpal.

Beliau berkata terdapat tiga skim perkhidmatan PDRM iaitu, Skim Perkhidmatan Konstabel dengan gaji permulaan RM1,441; Skim Perkhidmatan Jawatan Konstabel Orang Asli RM1,334 dan Skim Perkhidmatan Konstabel Sokongan RM1,220.

"Ketika ini gaji skim perkhidmatan Orang Asli dan Sokongan kurang daripada RM1,441 atau sekitar RM1,200," katanya.

Abd Rashid berkata Skim Perkhidmatan PDRM dijadikan sebagai satu perkhidmatan istimewa, supaya kadar gaji dan pencen tidak mengikut kiraan penjawat awam lain, kerana membabitkan pasukan keselamatan yang berkhidmat untuk negara dan melibatkan keselamatan diri.

Sabtu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mencadangkan kerajaan untuk penyelarasan tangga gaji anggota dan beberapa cadangan lain, khususnya bagi meningkatkan tahap integriti pasukan.

Antara cadangan tersebut ialah menyelaraskan skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) sebanyak RM1,441 kepada kadar gaji minimum RM1,500 sebulan dan kenaikan penambahan 30 peratus daripada kadar kenaikan gaji tahunan (KGT), serta kenaikan satu KGT sekali beri bagi kumpulan pengurusan profesional kepada skim pegawai kanan polis iaitu YA13 hingga YA24A.

-- BERNAMA