Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini melonggarkan beberapa syarat pengambilan selain mengkaji aspek penambahbaikan perkhidmatan bagi menarik penyertaan lebih ramai kaum Cina dalam pasukan keselamatan itu.

Bermula tahun ini, PDRM menyasarkan penyertaan kira-kira 5,000 pegawai berpangkat rendah dari kaum itu, secara berperingkat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata PDRM juga berkemungkinan mengkaji semula aspek gaji, peluang kenaikan pangkat dan sebagainya bagi menarik penyertaan kaum itu.

"Kita sasar penyertaan kira-kira 5,000 kaum Cina secara berperingkat sebab kita perlu melihat tentang kapasiti dan juga keperluan kita dalam memberikan latihan-latihan kursus dan latihan asas," katanya kepada pemberita selepas tamat Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 2/2013 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, di sini, hari ini.

Beliau berkata bilangan kaum Cina berkhidmat dalam PDRM ketika ini hanya 1.87 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja PDRM.

Mohd Bakri berkata pihaknya juga telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menarik penyertaan kaum Cina, yang akan menjalankan program penerangan mengenai kerjaya dalam PDRM kepada kaum itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan) Bukit Aman ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata sesi pertama pengambilan konstabel baharu tahun ini akan dibuka mulai Isnin ini.

Katanya, kelonggaran syarat bagi kaum Cina adalah hanya perlu lulus Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus keputusan V/6/9 dalam ujian penglihatan mata atau dengan menggunakan cermin mata atau kanta lekap.

"Syarat kemasukan sebelum ini buat kaum Cina iaitu perlu kepujian Bahasa Malaysia...jadi kita mempertimbangkan keadaan (kelonggaran) ini khas untuk kaum Cina," katanya dalam sesi wawancara Eksesais Pengambilan Khas Jawatan Konstabel bagi Mengalakkan Penyertaan Kaum Cina dalam Kerjaya PDRM Tahun 2014, di sini.

Menurut Saiful, kelonggaran itu harus dibuat kerana nisbah keanggotaan PDRM ketika ini tidak seimbang antara kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.

"Berdasarkan statistik sehingga 31 Disember tahun lepas, keanggotaan didominasi oleh kaum Melayu dengan sejumlah 90,156 orang, India (3,659), Cina (1,974) dan selebihnya lain-lain kaum," katanya.

Beliau berkata kekurangan kaum Cina dalam PDRM didorong beberapa sebab antaranya gaji dianggap masih rendah dan ibu bapa tidak menggalakkan anak mereka menyertai PDRM.

"Diikutkan kajian, ramai daripada mereka tidak tahu gaji konstabel kini boleh mencecah RM3,000 sebulan termasuk semua elaun," katanya.

Bagi pengambilan bermula Isnin ini, borang permohonan boleh dimuat turun dari laman web PDRM di www.rmp.gov.my dan borang yang telah lengkap diisi dihantar ke balai-balai polis berdekatan atau ke Unit Perjawatan Pengambilan di Bukit Aman.