ALOR SETAR:Kira-kira 3,000 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Alor Setar dijangka mengalami gangguan bekalan pada Rabu ini bermula jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata gangguan itu berlaku berikutan terdapat kerja pembinaan projek loji rawatan kumbahan dan pembentungan serantau berdekatan.

Menurutnya, pengguna yang akan terjejas adalah di Jalan Teluk Wanjah, Jalan Langgar, Taman Ambar, Lorong Shariff, Menara Zakat dan Taman Lum Sun.


 
Sumber Facebook SADAKEDAH


Katanya, selain itu, kawasan Taman Hap Huat, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Jalan Langgar, Kompleks Malai dan kawasan sekitarnya turut akan mengalami gangguan bekalan.

"Pengguna di kawasan terbabit dinasihat membuat persediaan awal dan menyimpan air serta menggunakannya secara bijaksana.

"Projek berkenaan akan membabitkan kerja pengalihan paip di Jalan Teluk yang dijangka bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang termasuk masa pemulihan bekalan air," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 

Mohd Suhaimi berkata pihak SADA memohon maaf di atas segala kesulitan yang bakal dihadapi semua pengguna di kawasan terbabit.