KOTA KINABALU: Semua penerbangan diminta untuk mengisi air pesawat mereka di tempat asal sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) susulan gangguan bekalan air di lapangan terbang itu.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan KKIA mengalami gangguan bekalan air yang turut menjejaskan beberapa kawasan lain di Sabah.

Selain itu, MAHB turut meminta agar kedai makanan dan minuman di lapangan terbang menyediakan peralatan serta perkakas pakai buang.

"Kami juga akan menutup beberapa tandas buat sementara waktu, pada masa sama membeli air mineral secara pukal untuk diletakkan di tandas yang masih dibuka untuk kegunaan penumpang.

"Kami memohon maaf atas insiden yang tidak diingini ini dan akan terus memberikan maklumat terkini daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengenai situasi ini," menurut kenyataan MAHB.

Maklumat terkini, JANS memaklumkan notis gangguan bekalan air di Kota Kinabalu adalah semalam pada 8 malam di kawasan Kepayan, kira-kira 5 kilometre (km) dari KKIA, susulan kerja pembaikan paip bocor.

"Loji Rawatan Air Moyoq terjejas manakala bekalan air di kawasan terjejas akan dipulihkan secara berperingkat," menurut notis itu.

-- BERNAMA