KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil kira keadaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lewat tiba di pusat peperiksaan akibat gangguan perkhidmatan pengangkutan awam, kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin.
Bekas Menteri Pendidikan itu membangkitkan perkara tersebut di Dewan Rakyat dan menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, susulan gangguan bekalan kuasa landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pada pagi hari yang sama.
Beliau berkata calon yang berdepan situasi di luar kawalan mereka wajar diberikan peluang untuk menduduki peperiksaan seperti calon lain agar nasib mereka tidak terjejas.
"Kalau tidak, kesian anak-anak kita kalau tak dapat menduduki peperiksaan SPM seperti rakan-rakan lain kerana perkara di luar kawalan mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Radzi turut menyentuh keperluan pihak berkaitan menilai keadaan sebenar di lapangan supaya sebarang kelewatan akibat gangguan sistem pengangkutan awam tidak menutup peluang calon menduduki kertas peperiksaan yang dijadualkan.
"KPM perlu mengambil kira kemungkinan terdapat calon lain yang turut berdepan situasi sama ketika perjalanan ke pusat peperiksaan pada waktu pagi," ujarnya.
Sebelum ini tular di media sosial insiden dua calon SPM dari St. John’s Institution yang hampir terlepas menduduki kertas Matematik pada pagi Khamis akibat gangguan perkhidmatan LRT.
Menurut laporan berkenaan, kedua-dua calon itu dapat tiba dan menduduki peperiksaan mengikut masa yang ditetapkan selepas seorang guru, Hafizan, yang bertindak sebagai penyelia Tingkatan 5 mengambil mereka di stesen LRT Jelatek dan Kampung Baru.
"Tindakan pantas guru terbabit membantu memastikan kedua-dua calon tersebut dapat menduduki peperiksaan tepat pada waktunya," jelasnya ketika mengulas situasi yang menimpa calon berkenaan.
Sementara itu, Rapid KL memaklumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan pada pagi Khamis akibat gangguan bekalan kuasa landasan membabitkan Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang sebelum perkhidmatan pulih sepenuhnya sekitar jam 10.09 pagi.
"Gangguan perkhidmatan pengangkutan awam pada waktu puncak pagi sememangnya memberi kesan langsung kepada pergerakan harian termasuk calon peperiksaan," katanya.